PETALING JAYA – Seorang lagi suspek berhubung kes simbah asid pemain bola Selangor FC, Faisal Halim ditahan polis semalam.
Tangkapan suspek lelaki berusia lingkungan 30-an itu dikongsikan seorang wartawan di laman X hari ini.
Difahamkan, permohonan reman ke atas suspek akan dibuat di Mahkamah Petaling Jaya, pagi ini bagi membantu siasatan.
Bagaimanapun, Kosmo! sedang mendapatkan pengesahan dari Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berhubung perkhabaran terbaharu ini.
Sebelum ini, polis menahan suspek lelaki 20-an di Pandan Indah, Ampang.
Terdahulu Kosmo! melaporkan kecederaan tonggak utama Selangor FC itu disahkan melecur tahap empat di sekitar tubuhnya yang terkena simbahan asid tersebut.
Perkembangan terkini itu disahkan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Seri Shahril Mokhtar yang turut menyeru agar peminat sukan tanah air mendoakaan yang terbaik buat bintang Harimau Malaya itu.
Sebagai rekod, bola sepak negara seperti ditimpa ‘malapetaka’ apabila dua pemain kebangsaan, Faisal dan Akhyar Rashid diserang oleh penjenayah baru-baru ini. – KOSMO! ONLINE.