HULU SELANGOR – “Itu hak masing-masing (fail petisyen)”. Demikian respons Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Steven Sim berhubung hasrat Perikatan Nasional (PN) memfailkan petisyen pilihan raya ekoran mendakwa Pakatan Harapan (PH) menggunakan aset kerajaan dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu.
Steven yang juga Pengerusi Penyelarasan Gerak Kerja Jentera PRK Kuala Kubu Baharu Kerajaan Perpaduan bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut.
“(Dakwaan guna jentera kerajaan) itu tidak tepat kerana saya datang pun dengan kereta peribadi.
“(Mengenai rumah terbuka hari raya), kena tanya siapa yang anjurkan, tapi setakat ini dalam kempen kita memang tidak (salah guna aset kerajaan),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Mengingati mendiang Lee Kee Hiong di pekarangan Galeri Seni Sastera, Kuala Kubu Baharu, di sini hari ini.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mendakwa mempunyai bukti PH menyalahgunakan jentera kerajaan bagi meraih sokongan dalam kempen PRK Kuala Kubu Baharu.
Berikutan itu, katanya, PN berhasrat mengemukakan petisyen di Mahkamah Pilihan Raya sekiranya keputusan PRK DUN Kuala Kubu Baharu tidak memihak kepada parti tersebut.
Sebelum ini, anjuran rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri oleh Kerajaan Negeri Selangor dalam tempoh kempen PRK Kuala Kubu Baharu di sini turut dipersoalkan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) yang menyifatkan perkara itu melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954. – KOSMO! ONLINE