HULU SELANGOR – “Seseorang Menteri Besar tidak boleh dipecat sewenang-wenangnya kecuali dia melanggar perkara yang ditetapkan Perlembagaan”.
Demikian tegas Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berhubung kedudukan Menteri Besar Perlis, Mohd. Shukri Ramli apabila beliau disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas dakwaan salah guna kuasa.
Menurut Takiyuddin, seseorang itu adalah tidak bersalah sehingga dibuktikan oleh mahkamah.
“(Sekiranya) seseorang itu muflis, didapati bersalah oleh mahkamah, dihukum penjara lebih 12 bulan, didenda lebih RM2,000 atau dia hilang majoriti. Itu sahaja sebab seorang Menteri Besar hilang jawatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Manifesto Perikatan Nasional (PN) di pekan Kuala Kubu Baharu, di sini hari ini.
Terdahulu, SPRM dilaporkan mengambil keterangan Mohd. Shukri bagi membantu siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa, namun dibebaskan dengan jaminan.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata, mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Bersatu atau Pas layak menjadi Menteri Besar negeri itu.
“Kita di Perlis tidak ada Pas, tidak ada Bersatu kita ada PN. Jadi siapa pun ADUN PN layak menjadi Menteri Besar sekiranya mendapat sokongan daripada parti.
“Kita ada 15 kerusi, kalau lebih dari separuh menghendak kepada mana-mana ADUN, ADUN itulah menjadi Menteri Besar,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE