KUALA LUMPUR – Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) telah memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) dan menandatangani Dokumen Penyataan Niat dan Tujuan (LOI) dengan tiga rakan strategik.
Tiga rakan strategik tersebut adalah Huihuang International (M) Sdn. Bhd., Cendana Auto Sdn. Bhd. (CASB) dan Asian
Rail Academy Sdn. Bhd. (ARA).
Menurut Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral Datuk Mardzuki Muhammad, MoA bersama HuiHuang International itu
menggariskan terma-terma kerjasama dalam pengambilan pelajar antarabangsa.
Selain itu katanya, kerjasama itu juga akan mempromosikan program yang ditawarkan oleh UPNM terutamanya program pasca siswazah ke peringkat antarabangsa dengan lebih kompetitif.
“Bagi LOI yang telah ditandatangani bersama CASB ia akan menggalakkan lagi kepentingan UPNM dan CASB dalam bidang
penyelidikan dan inovasi bagi kenderaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Malah, CASB fokus untuk menjadi ‘Complete Automotive Solutions Provider’ dengan menawarkan servis yang pantas dan profesional kepada pelanggannya.
“Di samping itu, CASB juga menawarkan produk dan perkhidmatan servis dengan teknologi terkini direka untuk memenuhi keperluan pelanggan,”katanya kepada Kosmo!.
Terdahulu, ketiga-tiga majlis tersebut berlangsung di Reruai UPNM sempena Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2024 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini.
Mengulas lanjut, Mardzuki berkata, bagi LOI bersama ARA, kerjasama dalam latihan pensijilan berfokus kepada bidang Keselamatan dan Penandaan Rel melalui Institut Pengajian Eksekutif UPNM (NIEEd).
“Objektif kerjasama ini adalah bagi mewujudkan pertukaran maklumat bagi meningkatkan pengetahuan akademik serta menyediakan latihan.
“Selain itu, kerjasama antara UPNM dan ARA ini juga akan menyediakan pensijilan kursus profesional,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE