PETALING JAYA – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mendedahkan terdapat kes tipu dan percubaan untuk membuat 398 tuntutan palsu berjumlah lebih RM27 juta oleh pencarum dengan bantuan orang tengah menggunakan pelbagai taktik penipuan.
Sebahagian daripada jumlah itu telah dibayar, manakala bakinya sudah dibekukan sebaik Perkeso menyedari penipuan yang cuba dilakukan selepas melakukan siasatan ke atas pelbagai dokumen yang dicurigai.
Perkeso dalam satu kenyataan kepada Kosmo! berkata, 398 kes itu dikesan antara tahun 2017 hingga kini melibatkan jumlah tuntutan RM27,624,399.
Katanya, kes penipuan yang sering diterima adalah yang melibatkan pemberian penyataan atau dokumen palsu bagi mendapatkan bayaran faedah.
“Siasatan mendapati kebanyakan kes penipuan berkaitan dengan pemalsuan dokumen dan pembohongan pernyataan maklumat.
“Antaranya seperti meminda tarikh dalam sijil cuti sakit, memberi representasi palsu, mengubah laporan perubatan serta membuat laporan maklumat yang tidak betul berkaitan kemalangan,” kata kenyataan itu.
Tambahnya, kes penipuan tuntutan faedah caruman diklasifikasikan kepada jenis faedah yang disediakan atau diberi kepada Orang Berinsurans.
Menurut kenyataan itu, antara faedah-faedah yang ditawarkan ialah hilang upaya sementara, hilang upaya kekal dan pencen ilat.
“Pencarum ini didekati oleh pihak tertentu yang mengambil kesempatan terhadap kesulitan dan kesusahan hidup mangsa dan memperdaya mangsa kononnya mereka adalah orang tengah yang boleh menguruskan tuntutan,” katanya.
Ujar kenyataan itu, penipuan itu dibuat walaupun pada dasarnya pencarum tidak layak untuk membuat tuntutan dengan mengenakan bayaran antara RM6,000 hingga RM15,000 untuk setiap perkhidmatan.
“Perkeso tidak pernah melantik mana-mana pihak untuk membuat urusan berkaitan tuntutan sebaliknya pencarum boleh hadir dan berhubung terus di mana-mana pejabat kami di seluruh negara dan ia adalah percuma,” katanya.
Bagaimanapun, Perkeso tidak mendedahkan berapa ramai atau jenis tindakan yang telah diambil ke atas pencarum yang dikesan membuat penipuan tuntutan itu.
Pencarum yang membuat tuntutan palsu boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 83 Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda
RM10,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Perkeso juga boleh melaporkan kesalahan itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sekiranya mendapati tuntutan atau kes yang sedang disiasat mengandungi unsur-unsur sogokan.