BARCELONA – Bintang Liverpool, Darwin Nunez menjadi sasaran mengejutkan untuk Barcelona menjelang jendela perpindahan musim panas nanti selepas kelab itu mengumumkan bakal berlaku perubahan besar dalam pasukan tersebut.
Kehadiran penyerang Liverpool itu mungkin akan mengisi kekosongan Robert Lewandowski yang dijangka menjadi antara nama besar meninggalkan Camp Nou dalam rombakan besar-besaran itu nanti.
Had gaji Barcelona ketika ini telah dikurangkan kepada £174 juta (RM1 bilion) oleh LaLiga, justeru memaksa mereka untuk melepaskan pemain yang memperoleh gaji lumayan bagi meneruskan usaha pembentukan semula pasukan.
Lewandowski merupakan salah seorang pemain yang meraih gaji tertinggi dan dia dilaporkan akan menjadi ‘mangsa’ memandangkan gajinya bakal meningkat kepada £27 juta (RM160 juta) musim depan.
Sementara itu, walaupun Nunez adalah antara pemain yang menerima gaji tertinggi di Liverpool, tetapi gajinya hanya satu per empat daripada gaji pemain Poland tersebut, sekali gus meletakkannya dalam radar The Catalans.
Bagaimanapun, Nunez dikatakan sangat gembira di Anfield dan tiada isu yang mendesak untuk dia berpindah tetapi ada sumber yang melaporkan pemain Uruguay itu tertarik dengan peluang beraksi bersama kelab gergasi Sepanyol berkenaan.
Sebagai rekod, selepas menyertai Liverpool dari Benfica, pemenang Anugerah Pemain Terbaik Liga Portugal (LPFP) musim 2021/22 itu sudah meledak 33 gol dalam 94 perlawanan bersama The Reds. – AGENSI