JOHOR BAHRU – Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) telah melengkapkan kertas siasatan berhubung kes kasut tumit tinggi yang didakwa mempunyai kalimah mirip ejaan Allah dalam bahasa Arab di bahagian tapaknya.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, kertas siasatan itu telah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut.
“JAINJ dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia telah melengkapkan kertas siasatan berhubung kes berkenaan, dan telah diserahkan kepada pihak peguam negara. Sama ada terdapat siasatan lanjutan dibuat berhubung kes berkenaan saya tidak dimaklumkan.
“Tetapi saya yakin penguatkuasa agama negeri ini dan juga polis telah jalankan tugas mereka sebaiknya. Selebihnya kita serah budi bicara peguam negara untuk buat tindakan susulan termasuk sama ada perlu mendakwa mereka yang terlibat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Sambutan Aidilfitri Pusat Islam Iskandar Johor, di sini hari ini. Turut hadir, Ketua Setiausaha Kerajaan Johor, Tan Sri Dr. Azmi Rohani.
Tambah Mohd. Fared, kasut-kasut yang dirampas dalam kes berkenaan masih dalam simpanan pihak polis.-KOSMO! ONLINE