KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil memaklumkan kedudukan Malaysia jatuh 34 tangga dalam Indeks Kebebasan Media Dunia 2024 adalah bukan disebabkan kementeriannya semata-mata.
Ujarnya, akta-akta lain di bawah kementerian berbeza dan pendirian Malaysia terhadap beberapa isu juga mempengaruhi laporan yang dikeluarkan badan bukan kerajaan (NGO) Wartawan Tanpa Sempadan (RSF) itu.
“Sebagai contoh seperti isu Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT), kita sedia maklum pendirian Malaysia mengenai isu tersebut. Jadi ada beberapa perkara yang perlu mengikut kesesuaian atau acuan (adat) sama ada ASEAN mahupun ketimuran.
“Jadi laporan yang dikeluarkan itu bukanlah berkait dengan Kementerian Komunikasi atau kebebasan media semata-mata. Ada yang melibatkan akta-akta di bawah kementerian berbeza.
“Kalau kita lihat laporan itu pun bukanlah kayu ukur sejati, ia hanya adalah untuk kita meneliti dan mempertimbangkan jika ada tindakan-tindakan tambah baik pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Kawal Selia Antarabangsa (IRC 2024), di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Fahmi memaklumkan dirinya merupakan Menteri Komunikasi pertama yang akan bertemu dengan RSF tidak lama lagi bagi mengadakan perbincangan selanjutnya.
Bagaimanapun katanya, setiap cadangan RSF nanti tidak semestinya akan diterima secara bulat-bulat dan masih memerlukan kajian mendalam lagi berdasarkan kesesuaian pendirian Malaysia.
“RSF telah membalas ciapan saya menyatakan kesudian dan kerjasama mereka untuk berjumpa dengan saya. Tak ditentukan lagi bilakah pertemuan tersebut, tapi saya akan berhubung dengan RSF selanjutnya nanti.
“Apa-apa pun saya terima laporan itu dengan hati terbuka. Cuma ada individu menyatakan Malaysia lebih teruk daripada Israel dalam kebebasan media.
“Saya jelaskan dekat sini, kami tidak bunuh orang, kami tidak pernah menutup mana-mana media seperti yang berlaku di Gaza, Palestin. Itulah bezanya Malaysia dan Israel,” katanya. – KOSMO! ONLINE