MIRI – Bayi perempuan berusia tiga tahun antara empat yang selamat dalam kemalangan yang meragut tiga nyawa termasuk ibunya selepas pikap yang mereka naiki terbabas berhampiran Rh. Nginbang Batu 72, Suai, Niah dekat sini semalam.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, kejadian dilaporkan kira-kira pukul 6.55 petang dan pihaknya segera menggerakkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah dan BBP Lopeng ke lokasi kejadian.
Katanya, setiba di tempat kejadian mendapati sebuah pikap jenis Isuzu Dmax yang membawa tujuh penumpang itu terbabas ke bahu jalan.
“Dua mangsa berjaya dikeluarkan orang awam dan diserahkan kepada pasukan perubatan sebelum ketibaan pihak bomba.
“Pasukan bomba kemudian mengeluarkan empat mangsa yang berada di longkang dan seorang mangsa di kawasan semak dengan menggunakan pengusung dan dibawa ke tempat yang selamat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, tiga mangsa iaitu Evelyn Shely Manyie, 26, Eddy Indau, 26, dan Jenging Tinsok, 39, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Mangsa yang cedera ialah Garry Galviston Mantau, 34, Evva Shakilla Bandai Evelyn Shely, 3, Kulam Letan, 26, dan Scrivia J. Sylvester, 39. – KOSMO! ONLINE