LIPIS – “Saya berusaha memberi bantuan pernafasan kepada suami tetapi tiada tindak balas. Ketika itu saya cakap padanya ‘tak apa papa, mama reda’,”.
Demikian kata Azimah Azaha, 37, ketika menceritakan detik akhir usaha menyelamatkan suaminya, Allahyarham Arif Fadzil Abdul Saleh, 43, yang meninggal dunia akibat lemas di Sungai Balak, berhampiran Jalan Genting Lama, Batang Kali, Selangor, semalam.
Kejadian tersebut turut meragut nyawa dua cahaya mata mereka, Malik, 6, dan Damia, 9.
Azimah berkata, sebaik dia melafazkan ayat tersebut, secara tiba-tiba jasad anaknya, Malik, timbul di permukaan air.
“Masa jasad Malik timbul saya hairan kenapa Malik, bukan Damia sebab suami berenang untuk selamatkan Damia.
“Rupa-rupanya saya baru sedar Malik turut terjun ke dalam sungai mengikut papanya untuk menyelamatkan Damia,” katanya selepas selesai majlis pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tempoyang di sini, awal pagi ini.
Menurut ibu kepada tujuh cahaya mata itu, sebaik menyedari suami dan anaknya lemas, dia tekad bergadai nyawa untuk terjun ke dalam sungai bagi membantu menyelamatkan ahli keluarganya.
“Saya sedar kawasan sungai tempat suami dan anak-anak hilang itu agak dalam tetapi saya tetap ambil risiko untuk terjun.
“Masa itu saya sudah reda kalau jadi apa-apa pada saya. Saya pun tidak tahu dimana datangnnya kekuatan saya boleh timbul semula di permukaan air dan menarik suami ke tepi (tempat selamat) sebelum memberi bantuan pernafasan,”katanya.
Sementara itu, suasana pilu mengiringi pengebumian jenazah tiga beranak berkenaan yang selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tempoyang, di sini kira-kira pukul 3 pagi tadi. – KOSMO! ONLINE