fbpx

Menteri marah kes bapa noda anak sampai lahir zuriat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nancy Shukri

KUCHING – “Ini membuatkan kita yang mendengar kes seperti ini sakit hati, sedih dan marah.”

Itu kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri ketika mengulas mengenai tindakan seorang bapa yang merogol anak perempuannya sejak mangsa berusia 12 tahun sehingga melahirkan dua anak di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Nancy berkata, kejadian itu sangat menyakitkan hati kerana ia berlarutan selama lapan tahun sehingga mangsa melahirkan zuriat bapanya sendiri

“Malah tidak dipedulikan oleh ibunya meskipun mangsa sudah memaklumkan kepada ibunya yang dia dirogol oleh bapanya,” katanya selepas menerima kunjungan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg pada majlis Aidilfitri di kediamannya di Petra Jaya di sini, hari ini.

Menurutnya, pegawai pelindung dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan bertemu mangsa rogol terbabit.

“Mangsa kini sudah berusia 20 tahun dan dewasa dan pegawai pelindung akan berbincang untuk mengetahui sama ada dia akan menjaga sendiri anak itu.

“Pada masa sama, kami perlu menyiasat kemampuannya jika dia mahu menjaga anak itu atau perlu anak itu dibawa ke institusi di bawah kementerian. Pegawai pelindung akan membawa perkara itu ke mahkamah,” katanya.

Tambahnya, pegawai kementeriannya sudah menghubungi polis bagi mendapatkan maklumat untuk membolehkan pihaknya bertindak menangani kes itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI