KUALA LUMPUR – Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia 2024 dan Pameran Keselamatan Kebangsaan Asia
2024 (DSA 2024 & NATSEC ASIA 2024) dijangka menyaksikan pemeteraian kontrak dan memorandum persefahaman (MOU) berjumlah RM8.1 bilion.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, jumlah tersebut terdiri daripada urus niaga melibatkan Kementerian Pertahanan (Mindef) yang berjumlah RM6 bilion.
“Kita akan adakan majlis tanda tangan pada Rabu depan melibatkan beberapa projek dan MOU bagi pihak Kementerian Pertahanan berjumlah RM6 bilion,” katanya ketika sidang akhbar selepas sesi walkabout pameran tersebut di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini hari ini.
Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan sebanyak 14 kontrak MOU serta urus niaga bernilai RM2.1 bilion dijangka dimeterai sempena pameran tersebut.
“Kementerian Dalam Negeri (KDN) juga akan memberi fokus melibatkan isu keselamatan siber di mana beberapa tetamu dari delegasi antarabangsa akan berbincang mengenai isu ini.
“Baru-baru ini Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri juga telah mempengerusikan mesyuarat Majlis Keselamatan Negara dan antara agenda utamanya ialah isu keselamatan siber,” katanya.
Jelasnya visi negara sangat jelas bagi memacu Malaysia ke arah sebuah negara yang mampan dan berpendapatan tinggi, bagi mencapai maksud itu pra syaratnya ialah persekitaran terjamin serta selamat memainkan peranan yang sangat penting.
“Ancaman seperti serangan siber, radikal dan ekstrim wajib ditangani dengan sebaik mungkin dan sehabis daya dalam menjaga keharmonian dan kelestarian negara,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE