JITRA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu masalah kemiskinan tegar membabitkan 2,500 keluarga di negeri ini diselesaikan dalam tempoh dua bulan.
Kata beliau, langkah penyelesaian itu dilakukan Kerajaan Persekutuan dengan kerjasama kerajaan negeri.
“Kemiskinan harus segera dinoktahkan kerana tidak munasabah dalam keadaan kita dengan kemudahan makan minum begini, ada dalam kalangan masyarakat tidak cukup makan, pakaian atau perbelanjaan sekolah.
“Nak selesaikan semua masalah kemiskinan akan ambil masa tetapi kemiskinan tegar kita mampu,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri Madani peringkat negeri di pekarangan Darulaman Park, Jitra, dekat sini hari ini.
Anwar berkata, beliau percaya kerjasama yang baik antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri akan menghasilkan natijah yang baik.
“Kita tidak mahu negeri-negeri yang didiami ramai masyarakat Melayu Islam ini masih terdera dengan kesusahan ini,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE