KOTA TINGGI – Seramai 300 mangsa banjir kilat ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara yang sama iaitu Sekolah Kebangsaan Bukit Lintang sehingga pukul 8 malam ini.
Jumlah tersebut menunjukkan peningkatan mendadak berbanding 88 orang mangsa yang dipindahkan pada pukul 4 petang tadi.
Setiausaha Kerajaan Negeri Johor merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri, Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, 300 mangsa berkenaan adalah daripada 69 keluarga.
Katanya, semua mangsa terjejas dari Kampung Temenin Baru dan Kampung Desa Makmur dan menurut pemantauan cuaca oleh Jabatan Pengairan dan Saliran, dua daerah Kota Tinggi mengalami hujan berterusan sejak pukul 8 pagi sehingga 4 petang tadi.
“Keadaan cuaca pada sehingga pukul 8 malam adalah mendung. Selain Kota Tinggi, daerah Kluang, Kulai dan Mersing turut mengalami cuaca mendung, manakala daerah lain adalah cerah.
“Menurut laporan Jabatan Ukur dan Pementaan Malaysia, lima lembangan sungai di daerah Kota Tinggi, membabitkan Sungai Johor di Rantau Panjang, Sungai Johor di Kota Tinggi, Sungai Sembilang di Kampung Sungai Sembilang, Sungai Sedili Kecil di Sedili Kecil dan Sungai Ulu Sedili Besar di Batu 52 Sedili, masih berada pada aras normal,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE