ALOR SETAR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri Kedah di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.
Anwar tiba di Pejabat SUK negeri kira-kira pukul 5.40 petang tadi dengan diiringi Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor.
Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail serta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Menurut Muhammad Sanusi, mesyuarat berlangsung dalam suasana harmoni dan antara perkara yang dibincangkan berkaitan isu penempatan Bukit Malut, Langkawi; kampung tersusun iaitu lot tanah untuk golongan miskin serta pengekalan tanah sawah.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri yang turun ke negeri ini hari ini dengan mesyuarat (berlangsung) agak harmoni. Kita sampaikan hasrat kita terus kepada Persekutuan dan dapat maklum balas baik daripada Perdana Menteri.
“Yang mana boleh lulus, dia (Perdana Menteri) lulus terus dan yang mana perlu kepada perincian, dia tanya terus kepada KSU, jadi cepat,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat tersebut.
Anwar seterusnya dijadualkan menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri Madani peringkat negeri di pekarangan Darulaman Park, Jitra dekat sini, malam ini. – KOSMO! ONLINE