KUALA LUMPUR – Skuad Piala Thomas negara bermula dengan langkah kiri apabila pemain perseorangan negara, Lee Zii Jia gagal menewaskan pemain China, Shi Yu Qi pada aksi perlawanan pertama separuh akhir sebentar tadi.
Pada aksi yang berlangsung di Pusat Sukan Chengdu High-Tech Zone tersebut, impian rakyat Malaysia untuk melihat Zii Jia mencipta kemenangan ke atas pemain ranking No. 2 dunia itu tidak kesampaian selepas tumpas 19-21, 21-5 dalam tempoh 39 minit.
Pada perlawanan tersebut, kedua-dua pemain memperagakan aksi cukup sengit dan mempamerkan perlawanan yang sedikit berhati-hati.
Bagaimanapun, Yu Qi yang juga merupakan Juara Terbuka Perancis menggunakan pengalaman sebelum ini tampil agresif sebelum mengatasi Zii Jia menerusi kemenangan straight set.
Kekalahan itu menyaksikan rekod pertemuan antara Zii Jia menentang Yu Qi semakin melebar kepada 1-5.
Hasil keputusan itu, Malaysia perlu bangkit menyamakan kedudukan menerusi beregu No. 5 dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang turun beraksi menentang gandingan No. 1 dunia, Liang Wei Kang-Wang Chang. -KOSMO! ONLINE