fbpx

Fakulti AI pertama Malaysia bakal dirasmikan pada 10 Mei ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZAMBRY (kanan) menerima cenderamata dari pihak Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada Karnival Jom Masuk U 2024 di UiTM Kampus Seri Iskandar di sini hari ini. FOTO/LIYANA RAMLI/KOSMO!

PARIT – Fakulti Kecerdasan Buatan (AI) pertama di Malaysia dijangka akan dirasmikan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur pada 10 Mei depan.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, perasmian itu akan dilaksanakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Program tersebut sudah pun bermula di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan ada juga konsortium dengan universiti-universiti yang lain.

“Tetapi untuk permulaan, kita mahu jadikan fakulti tersebut fakulti yang benar-benar mempunyai kualiti yang baik,” katanya kepada pemberita pada program Karnival Jom Masuk U 2024 di sini hari ini.

Menurutnya, kepakaran-kepakaran yang ada di universiti-universiti lain juga turut bersama menjayakan penubuhan fakulti tersebut di UTM.

Terdahulu, Zambry dilaporkan berkata, program Ijazah Sarjana Muda Kecerdasan Buatan (AI) telah diluluskan di peringkat Jawatankuasa Pendidikan Tinggi (JKPT) pada Januari lalu dan pelajar kohort pertama program itu akan memulakan pengajian Oktober ini.

Menerusi laporan itu, beliau berkata, pembangunan dan kokurikulum AI telah dikenal pasti menepati keperluan industri, melibatkan pakar-pakar bidang AI serta seiring dengan Pelan Hala Tuju Kecerdasan Buatan Negara 2021-2025 yang dirangka oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Sementara itu, Zambry berkata, penganjuran Program Jom Masuk U 2024 (JMU2024) ini bermula pada 4 Mei sehingga 9 Jun 2024.

Program tersebut akan diadakan di 10 zon di seluruh negara bermula di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak, Kampus Seri Iskandar manakala Majlis Penutupan JMU2024 akan diadakan di UiTM Cawangan Sabah, Kampus Kota Kinabalu. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI