fbpx

‘Ingatkan stadium Mira Filzah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
SUHANA MD. YUSOP
PENGARANG BERITA

Membaca komen netizen mengenai Stadium Mini Ffira Mikah di Padang Terap di Alor Setar yang tular di media sosial minggu lalu sangat mencuit hati.

Ada yang menjadikan ia bahan lawak dan tidak kurang juga komen membina daripada mereka terutamanya penduduk Padang Terap sendiri.

‘Ingatkan stadium mini Mira Filzah tadi’, komen seorang netizen yang disokong tanda like netizen lain.

‘Sekilas pandang pun sudah tahu nama ia itu diterbalikkan, netizen sekarang bijak tau’, komen seorang netizen lain tentang isu berkenaan.

Semuanya terjadi apabila orang ramai mula mempertikaikan nama stadium mini di Padang Terap itu yang didakwa menggunakan nama Pegawai Daerah Padang Terap, Hakim Ariff Md. Noor secara terbalik.

Stadium Mini Ffira Mikah di Kuala Nerang itu yang dahulunya dikenali Stadium Mini Kuala Nerang dimiliki Majlis Daerah Padang Terap (MDPT) dan dirasmikan Hakim Ariff pada 7 Disember lalu selepas dinaik taraf.

Bagaimanapun, Hakim Ariff menyangkal dakwaan yang tular bahawa nama stadium berkenaan adalah bersempena namanya yang diterbalikkan. Nama itu dipilih dan dicadangkan dalam mesyuarat pentadbiran.

Menurutnya, dalam bahasa Sepanyol atau Greek, Ffira bermaksud sesuatu yang hebat, manakala Mikah dalam bahasa Arab sempena nama Malaikat.

Jelasnya juga, penjenamaan stadium itu dilakukan kerana mahu menyuntik semangat baharu dengan pemilihan nama unik bagi menarik perhatian ramai sekali gus melonjak nama daerah berkenaan.

Ironinya, semua termasuk kerajaan negeri didakwa tidak mengetahui mengenai penukaran nama tersebut sebelum mengarahkan papan tanda stadium berkenaan diturunkan dan nama ditukar.

Sepatutnya, MDPT memilih nama tokoh sejarah di daerah itu atau nama individu yang pernah berjasa dan dianggap sesuai.

Apabila perkara ini terjadi, sudah pasti menambah beban untuk menerangkan maksud Ffira Mikah itu.

Bukankah senang jika kita menggunakan nama-nama bekas pemimpin, pembesar setempat yang pastinya rakyat Kedah amnya sedia tahu, sekurang-kurangnya mereka mengetahui dan mendalami sejarah.

Bukan dengan cara meletak nama yang menimbulkan kontroversi dan selepas itu membazir wang dan tenaga kerana perlu menggantikan dengan yang baharu.

Pemilihan nama untuk stadium mahu pun apa saja lokasi perlu dilakukan dengan berhati-hati.

Apa pun alasannya, pemilihan nama kena jelas, biarpun kebetulan nama menyamai jika diterbalikkan, namun ia pasti susah diterima masyarakat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI