PETALING JAYA – Adat bercinta dan berumah tangga pasti ada pasang surutnya, namun jika berdepan dengan suatu masalah perlulah mengambil langkah berbincang atau mendapatkan bantuan daripada pakar, bukannya mendedahkan permasalahan tersebut di media sosial.
Kaunselor Syarie, Safura Ahmad Sharkawi berkata, sekiranya setiap suami mampu menjaga isteri masing-masing dengan baik, maka hubungan perkahwinan tersebut dapat bertahan lama dalam situasi yang aman.
“Jika setiap isteri mematuhi pentadbiran suami mereka, insya-Allah tenteramlah setiap jiwa,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Dalam pada itu, Safura berkata, jika seseorang lelaki atau suami meluahkan masalah yang dihadapi dalam satu sesi kaunseling sehingga menitiskan air mata adalah suatu perkara normal dan boleh diterima.
“Lelaki menangis depan kaunselor, acceptable. (boleh diterima). Lelaki menangis dalam podcast, doubtful (diragui),” katanya. -KOSMO! ONLINE.