fbpx

Gadis berdayung 4,500 kilometer rentas Lautan Atlantik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JASMINE menyertai perlumbaan mencabar yang menyaksikan dia bersendirian berdayung merentasi Lautan Atlantik. – Jasmine Harrison/SWNS

LONDON – Seorang guru renang berumur 21 tahun yang tidak pernah berdayung seumur hidupnya sebelum Januari tahun ini, memulakan perjalanan untuk menjadi wanita paling muda mendayung secara solo merentasi Lautan Atlantik sejauh 4,500 kilometer, lapor akhbar Daily Mail semalam.

Jasmine Harrison mengambil bahagian dalam Cabaran Atlantik Talisker iaitu perlumbaan sangat mencabar yang menyaksikan dia berdayung menyeberangi lautan kedua terbesar di dunia itu bersendirian.

Guru renang itu berharap dapat menamatkan perlumbaan itu dalam masa sekitar 70 hari. Sepanjang tempoh itu, Jasmine dijangka minum sebanyak 10 li­ter air setiap hari dan badannya membakar lebih 5,000 kalori.

Gadis itu memulakan perjalanannya dari Kepulauan Canary pada pukul 10.30 pagi (waktu tempatan) Sabtu lepas dan mendayung di lautan luas selama beberapa bulan sehingga sampai ke garisan penamat di Limbu­ngan Nelsons, Antigua.

Jasmine merupakan salah seorang daripada lapan peserta yang memasuki perlumbaan itu secara solo, manakala 12 pasukan akan bertanding sama ada secara berpasangan, bertiga atau berempat.

Setakat ini, warga Amerika Syarikat (AS), Katie Spotz merupakan wanita paling muda yang berdayung secara solo merentasi Lautan Atlantik apabila dia melakukannya pada tahun 2010 ketika berusia 22 tahun dan 260 hari.

Jasmine yang mula berdayung pada Januari tahun ini selepas mengesahkan penyertaan dalam perlumbaan itu pada Mei 2019, berharap dapat memberi inspirasi kepada wanita muda untuk mencapai impian masing-masing.

“Ia kedengaran agak tidak munasabah. Saya tidak pernah berdayung dalam hidup saya. Saya melakukan semua aktiviti lain seperti berenang, pentatlon dan kebanyakan sukan standard lain tetapi bukan berdayung,” kata Jasmine yang berasal dari Thirsk, England.

Gadis yang pernah menyertai acara triatlon pada masa lalu itu berkata, ia adalah cabaran baharu buat dirinya untuk berdayung menggunakan sebuah perahu sepanjang 6.4 meter dinamakan Argo. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI