PETALING JAYA – Tindakan dua lelaki bertopeng yang mengagihkan telur ayam percuma kepada orang ramai berhampiran Masjid As-Salam, Puchong Perdana mendapat pujian umum.
Menerusi perkongsian video TikTok oleh @xyzteamproject, orang ramai kelihatan berkerumun dan tidak berhenti untuk mengambil satu papan telur yang dihulurkan itu.
Meninjau di media sosial, mereka dikenali sebagai ‘xyz team project’ yang melakukan misi untuk membantu rakyat dari segi keperluan asas.
“Kami semua orang Islam dan berbangsa Melayu. Kami akan tolong orang ramai dengan memberikan barang keperluan asas. In sya allah kami tolong apa yang kami mampu,” ujar kumpulan tersebut.
Terdahulu, pasukan bertopeng ini telah memberi ayam percuma di kawasan Pavilion, Kuala Lumpur.
Berdasarkan video, sepanduk yang sama digunakan mengatakan mereka hanyalah orang biasa juga masih digunakan.
“We are not influencer (kami bukan pempengaruh), we are not celebrity (kami bukan selebriti, we are nobody (kami bukanlah sesiapa)”.
Rata-rata pengguna media sosial memberikan pelbagai reaksi.
“Rasanya yang ambil itu memang memerlukan. Sebab kalau berkemampuan mereka takkan ambil. Moga niat baik berterusan dan urusan dipermudahkan,” komen @papahabib.
“Sebak tengok benda macam ini. Semoga kalian tak putus sumber supaya usaha ini berpanjangan,” komen @waziah.
“Tahniah anak muda! Terbaik, teruskan bantu orang-orang yang memerlukan,” komen @nyson. – KOSMO! ONLINE.