PETALING JAYA – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Kerajaan (Cuepacs) menggesa semua pihak agar tidak mempolitikkan usaha kerajaan yang menaikkan gaji penjawat awam.
Presidennya, Datuk Dr. Adnan Mat berkata, beliau kecewa apabila isu kenaikan gaji penjawat awam mula dipolitikkan sehingga timbulnya idea untuk menggagalkan hasrat tersebut melalui penolakan sokongan di Parlimen.
Menurut beliau, kenyataan seorang ahli politik baru-baru ini amat mengecewakan para penjawat awam yang telah lama menantikan pelarasan semula skim gaji supaya mampu menampungi peningkatan kos sara hidup.
“Kami berpesan supaya janganlah emosi politik menguasai keputusan yang tidak memberikan sifat ihsan kepada kebajikan penjawat awam.
“Dalam hal ini, Cuepacs amat konsisten untuk meneruskan perjuangan agar isu kenaikan gaji seperti yg telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini dapat disokong sepenuhnya oleh semua pihak sama ada kerajaan atau pembangkang.
“Jangan kerana marahkan nyamuk habis kelambu mahu dibakar,” katanya dalam kenyataan semalam.
Jelas Adnan, ahli politik juga diminta agar bersikap lebih matang dan bijak serta bertanggungjawab dalam memainkan isu-isu yang ingin diketengahkan.
Tambah beliau, berita gembira yang diumumkan oleh Perdana Menteri semasa sambutan Hari Pekerja pada Rabu lalu tidak wajar dikaitkan dengan pilihan raya kecil (PRK) yang sedang berlangsung ketika ini.
“Keyakinan Cuepacs tetap tinggi agar usaha kerajaan untuk menambah baik sistem gaji penjawat awam akan berjalan dengan baik dan lancar demi kesejahteraan penjawat awam dan negara keseluruhannya.
“Sambutan Hari Pekerja pada 1 Mei telah wujud begitu lama dan disambut saban tahun.
“Malah, sambutan tersebut merupakan ruang untuk kerajaan mengumumkan sebarang usaha untuk meningkatkan kebajikan golongan pekerja termasuklah penjawat awam dan pekerja di sektor swasta,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE