PASIR PUTEH – Usaha menjejak penagih dadah menerusi operasi Ops Sharp masih dijalankan di daerah ini dalam usaha membendung kes penagihan dadah dalam kalangan anggota komuniti.
Ketua Pegawai Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Pasir Puteh, Azlina Mohd. Zain berkata, pemeriksaan termasuk saringan air kencing penghuni rumah yang disyaki menagih dadah akan dilaksanakan mengikut prosedur dan peruntukan undang-undang.
“Ini penting untuk memastikan mereka yang terlibat sebagai orang kena pengawasan (OKP) berjaya dicekup kembali sekiranya kembali menagih dadah.
“Penagih baru atau pertama kali ditangkap berpeluang mengikuti proses rawatan dan pemulihan, ” katanya ketika ditemui Kosmo! hari ini.
Azlina berkata, sekiranya terdapat penemuan dadah sebagai barang kes, ia akan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Beliau berkata, kebanyakan kes tangkapan penagih di daerah ini banyak melibatkan penggunaan dadah dari jenis pil kuda.
Katanya, terbaharu, AADK Pasir Puteh berjaya menahan lima lelaki berusia 27 hingga 39 tahun selepas saringan air kencing dilakukan dalam serbuan di beberapa rumah berasingan semalamS
“Kita membuat saringan terhadap tujuh lelaki yang disyaki menagih namun dua daripadanya negatif. Lima suspek pula positif dadah Methamphetamin kesan penagihan pil kuda.
“Ops Sharp dilaksanakan tanpa mengira waktu selepas AADK menjalankan risikan dan menerima laporan awam,” katanya.
Beliau berkata, lima kes disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983. – K! ONLINE