PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) akan segera membuat pengumuman sekiranya terdapat keperluan penutupan sekolah susulan cuaca panas ketika ini.
Bagaimanapun, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, segala penelitian perlu dilakukan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan terlebih dahulu sebelum penutupan sekolah dibuat.
Justeru, katanya, orang ramai tidak perlu khuatir dengan situasi semasa cuaca panas yang melanda beberapa negeri ketika ini.
“Jangan khuatir, sejurus ada situasi seperti itu, pengumuman segera dibuat. Kami memantau rapi perkara itu,” katanya ketika ditemui selepas majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA), di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya keperluan menutup sekolah ekoran cuaca panas khususnya di negeri Pantai Timur.
Dzulkefly berkata, ketika ini, pihaknya menerima lima kes berkaitan strok haba dan kelesuan haba di seluruh negara.
Menurutnya, segala prosedur operasi standard (SOP) sedia telah digerakkan termasuk mengurangkan aktiviti luar di sekolah.
“Kami turut mengesa Kementerian Pendidikan (KPM) supaya mengurangkan aktviti luar bagi pelajar sekiranya suhu kekal 35 darjah Celsius tiga hari berturut-turut sebagai langkah pencegahan,” katanya. – KOSMO! ONLINE