fbpx

PRK Kuala Kubu Baharu: PRM realisitik sasar kekal wang deposit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Jufliz (tiga kiri) bersama calon PRM, Hafizah (tiga kanan) pada pelancaran bilik gerakan dan manifesto di Jalan Ampang Pechah, Rasa, hari ini.

HULU SELANGOR – Parti Rakyat Malaysia (PRM) meletakkan sasaran dengan hanya mengekalkan wang deposit pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu.

Presidennya, Ahmad Jufliz Faiza turut mengakui bahawa kedudukan parti itu bertanding secara ‘solo’ bukan suatu perkara yang mudah tambahan pula behadapan dengan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

“Kami perlu tunjukkan (PRM) konsisten berjuang sejak sebelum merdeka dan kami tidak akan mengangkat bendera putih meskipun berdepan parti besar yang hanya memainkan isu negara tanpa mempedulikan masalah kecil membelenggu rakyat.

“Kami tidak serik (bertanding), sudah tentu bertanding untuk menang, tetapi sudah cukup bersejarah jika kami tidak hilang deposit. Kita kena realisitik.

“Mengikut pengiraan, sekiranya daripada 70 peratus atau kira-kira 28,000 orang keluar mengundi, jika dapat sokongan satu per lapan (3,500) undi, kita tidak akan hilang deposit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir bersama calon PRM, Hafizah Zainudin pada pelancaran bilik gerakan dan manifesto di Jalan Ampang Pechah, Rasa di sini, hari ini.

Pada PRK Kuala Kubu Baharu, Hafizah ditentang tiga pencabar lain iaitu calon PH, Pang Sock Tao, calon PN, Khairul Azhari Saut dan calon Bebas, Nyau Ke Xin.

Untuk rekod, PRM ditubuhkan pada 1955, antara parti terawal ditubuhkan di negara ini yang diasaskan aktivis politik, Ahmad Boestamam.

Ahmad Jufliz berkata, meskipun PRM gagal memenangi sebarang kerusi dalam pilihan raya sebelum ini, namun keputusan bertanding pada PRK DUN itu adalah untuk membela nasib rakyat.

“Kita mampu memperjuangkan isu ekonomi dan rakyat yang dihadapi setiap hari yang mana jika Pakatan Harapan (PH) atau Perikatan Nasional (PN) bila menang isu rakyat ini tidak diperjuang,” ujarnya.

Pada masa sama, Ahmd Jufliz berkata, PRM menetapkan enam manifesto antaranya untuk meningkat dan menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan pendapatan tanpa riba bagi warga Kuala Kubu Bharu terutama industri kecil dan sederhana.

Selain itu, mewujudkan koperasi komuniti di setiap taman dan kampung, menubuhkan hub teknologi tumbuhan herba, menggalakkan penduduk terbabit eko-pelancongan, serta mewujudkan pusat khidmat penduduk bagi mereka yang mengalami kesan COVID-19.

Ia juga meliputi pembangunan infrastruktur kemudahan awam, bangunan kerajaan dan sistem perparitan yang bersih selain meningkatkan peruntukan kebajikan masyarakat kepada semua rakyat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI