TELUK INTAN – Keterujaan seorang kanak-kanak menikmati juadah kambing perap berakhir dengan kejadian cemas apabila keluarganya terpaksa mendapatkan bantuan bomba bagi mengeluarkan tulang haiwan itu.
Tulang kambing itu dikatakan terlekat pada jari telunjuk tangan kanan kanak-kanak perempuan tersebut dalam kejadian pada Rabu lalu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Intan, Mohd. Ismail Mohd. Yunus berkata, mangsa tiba bersama bapanya pada pukul 8.45 malam untuk meminta bantuan memotong tulang kambing yang terlekat pada jari.
“Anggota bomba melakukan pemeriksaan awal dan mendapati jari mangsa sedikit bengkak serta kemerah-merahan.
“Alat pemotong khas digunakan untuk mengeluarkan tulang kambing tersebut. Operasi dijalankan dengan penuh berhati-hati sambil menenangkan mangsa yang mula menangis,” katanya hari ini.
Jelasnya, operasi tersebut selesai kira-kira 20 minit kemudian dan jari kanak-kanak perempuan tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Kebiasaannya, kami menerima khidmat khas potong cincin yang tersekat, tetapi kali pertama menerima kes melibatkan tulang kambing,” katanya.
Terdahulu, tular video di TikTok akaun BBP Teluk Intan berhubung usaha pasukan bomba memotong tulang kambing yang terlekat pada jari kanak-kanak itu.
Video itu ditonton oleh 2.6 juta pengguna, 15,100 perkongsian dan 109,900 tanda suka.
Dalam pada itu, Facebook PAK MAT Western memuat naik hantaran bahawa syarikat berkenaan menghadiahkan kambing perap kepada kanak-kanak tersebut dan anggota bomba yang terlibat dalam operai berkenaan. – KOSMO! ONLINE
@bombatelukintanSelesai ✅ Pak Mat Western boleh la sponsor adik ni sebab adik ni suka makan daging perap Pak Mat 😆♬ Cinta Setandan Pisang – Eda Ezrin & Den Manjo