KUALA LUMPUR – Sekurang-kurangnya 20 anggota Polis Kuala Lumpur ditempatkan untuk mengawal lalu lintas susulan penukaran jalan sehala kepada dua hala di Jalan Sultan Ismail, sejak Rabu lalu.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, tindakan tersebut diambil ekoran terdapat kenderaan yang keliru tentang perubahan laluan yang bermula di simpang Jalan Raja Chulan sehingga simpang Bukit Bintang, di sini.
Katanya, perubahan laluan dibuat ekoran jalan yang disediakan sejak 18 tahun lalu dilihat tidak mampu menampung jumlah kenderaan yang semakin bertambah.
“Jalan dilihat sesak dan padat ekoran pembangunan pesat seperti pusat komersial dan wujudnya persekitaran tumpuan tinggi seperti TRX City yang bakal menambahkan lagi jumlah kenderaan di Bukit Bintang.
“Justeru, satu solusi jangka masa pendek perlu dilakukan segera bagi penyuraian trafik di kawasan ini. Pembukaan jalan Sultan Ismail dijangka dapat mengurangkan kesesakan sekitar Bukit Bintang.
“Sejak 1 Mei dilancarkan, pihak polis masih menumpukan pemantau kelancaran laluan kenderaan di lokasi ini di samping memberikan pemahaman lalu lintas kepada pengguna jalan raya,” katanya pada sidang akhbar di Jalan Sultan Ismail, di sini, hari ini.
Hadir sama Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya dan Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh.
Bagi mengelakkan kesesakan di waktu puncak khususnya waktu pagi, Azry memaklumkan laluan Jalan Kampung Pandan menghala Jalan Sultan Ismail akan menjadi sehala bermula pukul 6 pagi sehingga pukul 9 pagi.
“Pada waktu puncak kita buka laluan sehala yang mana akan tamat pada pukul 9 pagi kemudian akan berubah seperti yang dirancang (dua hala),” ujar beliau.
Dalam perkembangan berasingan, Azry memaklumkan Op Hormat Undang-Undang Fasa 3 dijangka akan bermula dalam masa terdekat bagi memastikan peraturan lalu lintas di ibu negara dipatuhi.
“Insya-Allah akan dimulakan dalam masa terdekat, tumpuan operasi masih lagi kepada mana-mana kenderaan melakukan kesalahan lalu lintas dan akan dilaksanakan sepanjang tempoh satu bulan,” katanya. – KOSMO! ONLINE