PETALING JAYA – Pelakon Aliff Aziz mengakui sering tertanya-tanya kepada diri sendiri, mengapa kerap melakukan kesalahan sama iaitu curang.
Tidak menegakkan benang yang basah, Aliff, 33, berkata, dia sebaliknya hanya memilih untuk tidak mengulas sebarang aib dan pendedahan yang dilakukan isterinya, Bella Astillah sebelum ini termasuk dakwaan curang dengan 11 orang wanita.
“Sejujurnya saya tak mengikut jumlah pendedahan (curang) tersebut, saya juga memilih untuk jelaskan semua dakwaan dan aib yang dia dedahkan.
“Saya juga tak akan membangkang sebab saya tahu (sedar) diri.
“Saya juga banyak kali tanya diri sendiri kenapa saya kerap lakukan perkara sama (curang) tetapi saya tak dapat jawapan itu,” katanya dalam satu temu bual.
Meskipun tak mendapat sebarang kepastian, pelantun lagu Sayang Sayang itu membuat andaian bahawa dirinya lemah dalam menghargai dan memahami isterinya.
“Saya bercakap dengan diri sendiri bahawa Tuhan sudah beri macam-macam benda seperti menang Gegar Vaganza musim kesembilan, ada keluarga, macam-macam saya miliki tapi kenapa lakukan kesalahan sama.
“Kemudian, saya buat kesimpulan bahawa saya ada masalah untuk dengar tangisan isteri saya. Tidak mampu sedar dan gagal mencari sebab mengapa isteri saya menangis,” ujarnya.
Dalam pada itu, Aliff memberitahu dia kini terbuka untuk menerima bantuan daripada pihak lain bagi membantu menyelesaikan ‘krisis’ dalam dirinya.
“Pada ketika ini ya, saya rasa perlukan bantuan.
“Saya perlukan bantuan daripada mereka yang pakar mungkin bukan sebab mental tidak stabil tetapi untuk beritahu apa yang perlu saya lakukan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE