SUNGAI BULOH – Seorang pekerja pusat servis tayar maut, manakala seorang lagi rakannya cedera parah selepas tayar kenderaan jenis jentolak yang diisi angin meletup dalam kejadian di Bandar Baru Sungai Buloh, di sini, Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd. Hafiz Muhammad Nor berkata, pihaknya terkesan video tular kejadian tersebut di laman sosial semalam.
“Hasil semakan dilakukan, kejadian berlaku pada pukul 12.30 tengah hari ketika dua lelaki tempatan yang juga pekerja pusat servis tayar sedang mengisi angin tayar kenderaan jenis jentolak.
“Ketika sedang diisi angin tayar tersebut, tayar berkenaan tiba-tiba meletup menyebabkan seorang mati di tempat kejadian, manakala seorang lagi cedera parah.
“Kedua-dua mangsa dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Hafiz memaklumkan kes disiasat sebagai mati mengejut (SDR) dan satu kertas siasatan dibuka.
“Orang ramai diminta tidak membuat atau menyebarkan spekulasi berhubung kejadian ini,” katanya.
Semalam, tular video berdurasi 12 saat memaparkan dua pekerja pusat servis tayar berlumuran darah akibat kejadian tayar meletup. – KOSMO! ONLINE