BANGKOK – Penduduk sebuah kampung di Thailand mengarak patung siri animasi popular, Doraemon sebagai ritual dalam usaha untuk meminta hujan, lapor laman berita Wionews semalam.
Ritual dilakukan selepas kampung berkenaan dan daerah sekitarnya dilanda kemarau teruk selama berbulan-bulan.
Penyelidik-penyelidik sebelum ini berkata, fenomena perubahan iklim dunia menyebabkan gelombang haba yang melanda dunia berlangsung lebih lama, lebih kerap dan terik.
Upacara itu menyaksikan penduduk daerah Phayuha Khiri, wilayah Nakhon Sawan, mengarak patung Doraemon yang diletakkan di dalam sebuah sangkar sambil merenjiskan air.
Ritual itu dinamakan ‘Hae Nang Meaw’ iaitu mengarak seekor kucing betina untuk meminta hujan berdasarkan kepercayaan masyarakat tempatan dan diadakan sejak turun-temurun.
Bagaimanapun, penduduk kini tidak lagi menggunakan kucing sebenar dalam ritual tersebut dan menggantikannya dengan patung Doraemon atau Hello Kitty. – AGENSI