fbpx

Luah tidak mahu susahkan keluarga sebelum ditemui lemas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bomba membawa mayat Muhammad Sidek Abd. Karim yang ditemui dalam keadaan tertiarap dan tersangkut pada pokok bakau.

MELAKA – Seorang lelaki sempat memberitahu tidak mahu menyusahkan ibu dan adik-beradiknya sebelum ditemukan lemas oleh sepasukan bomba di Sungai Duyong berdekatan Kampung Tambak Sebelong, di sini hari ini.

Mayat Muhammad Sidek Abd. Karim, 29, ditemui kira-kira pukul 1.50 petang tadi dalam keadaan tertiarap dan tersangkut pada pokok bakau oleh pasukan bomba yang melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) bersama beberapa agensi lain.

Menurut abang mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Khairi berkata, adiknya itu telah keluar dengan menunggang motosikalnya pada pukul 4 pagi tanpa memberitahu hendak ke mana.

“Kami turut keluar untuk mencarinya selepas bimbang dia tidak pulang semula pada pukul 5 pagi.

“Saya keluar meronda sekitar rumah sebelum menemukan motosikal jenis Honda EX5 dinaiki adik berada di atas jambatan berdekatan sungai tersebut,” katanya ketiak ditemui di lokasi di sini hari ini.

Jelasnya, dia yang khuatir adiknya telah terjatuh ke dalam sungai terus melaporkan kejadian kepada pihak berkuasa.

“Kali terakhir saya berjumpa arwah adalah semalam dan dia ada meluahkan kepada ibu kami dengan memberitahu ‘adik tak nak susahkan mak lagi, tak nak susahkan adik-beradik lain’, ” katanya.

Tambah Khairi, Allahyarham merupakan anak keempat daripada lima beradik dan mangsa sedang menjalani rawatan setiap bulan bagi merawat masalah kesihatan mental yang dialaminya.

“Sebelum ini, arwah sihat sahaja namun akibat kemalangan tujuh tahun lalu dan mengalami pendarahan di kepala, kesihatannya terganggu.

Walaupun keadaannya begitu, dia tidak pernah ganggu orang lain dan hanya duduk di rumah serta rajin mengaji al-Quran,” katanya.

Sementara itu, Ketua Zon I Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Penguasa Kanan Bomba II, Mohd. Khairul Nizam Mohamad Anuar berkata, mayat mangsa yang masih lengkap berpakaian ditemukan kira-kira 150 meter dari jambatan berkenaan yang menghala ke arah pintu air Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

“Operasi SAR diteruskan pada keluasan sekitar 200 meter di bahagian kiri dan kanan jambatan dengan melakukan pencarian di permukaan sungai sebelum operasi penyelaman dilakukan,” katanya.

Ujar beliau, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Melaka untuk bedah siasat. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI