fbpx

Kemahiran barista jadi lubuk rezeki dua sahabat baik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nursyuhada (kiri) dan Norfarhana kini mampu meraih pendapatan selesa dengan mengusahakan Kafe Kopi dan Bulan di Meru, Ipoh. - Foto MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA

IPOH – Peningkatan kemahiran dan pengetahuan dalam bidang perniagaan menerusi Kursus Barista di bawah program empowerNCER menjadi pengubah keadaan bagi dua sahabat baik di Meru di sini.

Pemilik bersama Kafe Kopi dan Bulan, Norfarhana Mohd. Ghazali, 32, dan Nursyuhada Rejab, 33, mengakui menyertai kursus ditawarkan tersebut pada Mei tahun lalu merupakan antara keputusan yang tepat diambil mereka.

Menurut Norfarhana, sebelum membuka kafe tersebut, mereka hanya menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan sejak 2022 di Casa Kayangan di Meru, dengan pendapatan diperoleh sehari adakalanya hanya RM10.

“Ketika itu kami berniaga minuman berasaskan kopi di tepi jalan, dengan peralatan perniagaan pun tidak lengkap. Bergantung kepada situasi, adakalanya hanya RM10 diraih dalam sehari ekoran pelbagai faktor seperti cuaca.

“Bagaimanapun, setelah kami menyertai Kursus Barista di bawah empowerNCER, semua itu berubah kerana saya dan Nursyuhada lebih bersedia untuk mengharungi cabaran indusri makanan dan minuman (F&B),” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Norfarhana berkata, menerusi kursus ditawarkan itu, mereka mendalami ilmu perniagaan yang disifatkan sebagai aset penting dan tidak ternilai.

Katanya, pada Julai tahun lalu, mereka mengambil keputusan untuk membuka cawangan pertama Kafe Kopi dan Bulan di Meru pada Julai tahun lalu yang mana sambutannya amat menggalakkan daripada komuniti setempat.

“Alhamdulillah, berbekalkan pengalaman berniaga sebelum ini serta pengetahuan daripada program empowerNCER, kami kini mampu meraih pendapatan sekurangnya-kurangnya RM8,000 sebulan.

“Daripada menu berasaskan kopi sahaja, kami juga menjual pastri dan kek di kafe ini. Antara menu popular kami termasuklah Signature Kopi Bulan, Yuzu Cappucino dan Iced Chocolate Strawberry,” katanya.

Sementara itu,Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Mohamad Haris Kader Sultan berkata, pemilik Kafe Kopi dan Bulan merupakan salah seorang peserta program empowerNCER bagi daerah Kinta yang telah berjaya meningkatkan kapasiti operasi dan pendapatan perniagaan mereka secara mampan.

“Menerusi program empowerNCER, peserta bukan sahaja diberi bimbingan dan latihan dalam bidang pengkhususan masing-masing, namun mereka juga akan menerima bantuan peralatan sebagai kit permulaan untuk berniaga.

“Usaha meningkatkan pendapatan dan taraf kehidupan khususnya golongan B40 menerusi keusahawanan ini selaras dengan aspirasi Pelan Pembangunan Strategik Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) dan menyokong teras Perak Sejahtera 2030 di bawah program flagship Koridor TVET Malaysia,” kata beliau.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI