KUALA LUMPUR – Perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia meletakkan Malaysia berada 1-0 di depan mengatasi Jepun pada aksi suku akhir Piala Thomas 2024 selepas menewaskan Kenta Nishimoto 21-13, 21-3 dalam tempoh 33 minit.
Pada perlawanan yang berlangsung di Pusat Sukan Hi-Tech Zone, Chengdu, China sebentar tadi, Zii Jia turun sebagai pemain pilihan memandangkan sudah merekodkan tujuh kemenangan ke atas lawannya itu dalam 10 pertemuan sebelum ini.
Bekas juara All England itu tidak tidak berdepan banyak masalah apabila menampilkan aksi cukup bertenaga sepanjang perlawanan tersebut menerusi pukulan-pukulan smash kencang serta permainan di jaring yang gagal disekat Nishimoto.
Kemenangan dilakar Zii Jia sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada kem Malaysia bagi memburu mata kedua menerusi beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang turun menentang Takuro Hoki-Yugo Kobayashi sebentar lagi. – KOSMO! ONLINE