GUA MUSANG – Warga kota dinasihatkan supaya jangan terlalu ghairah pulang menemui ahli keluarga sehingga membawa jangkitan Covid-19 ke kampung.
Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Datuk Shafien Mamat berkata, individu yang berada di zon merah atau dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang pulang ke kampung berupaya memberi risiko kepada warga emas, ibu bapa dan ahli keluarga lain.
Katanya, mereka juga diseru supaya tidak menyembunyikan fakta diri sekiranya didapati tidak sihat.
“Saya mahu tekankan supaya kita jangan ambil kesempatan apabila tidak ada lagi batasan sempadan, negeri dan daerah.
“Semua berlumba-lumba mahu balik, tapi kita kena ingat apabila diri rasa tidak sihat dan bergejala, perlu dapatkan rawatan terlebih dahulu sehingga sembuh,” katanya.
Menurut Shafien, dia juga berharap agar warga kota yang sudah balik ke negeri ini supaya menjaga prosedur operasi standard (SOP) terutamanya di premis makanan, pusat membeli belah dan tempat awam.
Katanya, ketika ini, penguatkuasaan oleh pelbagai agensi masih diteruskan.
“Jangan pulang ke kelantan dan melakukan perkara yang tidak tentu hala. Tindakan masih boleh diambil.
“Jadi, gunakan peluang yang diberikan oleh kerajaan ini dengan sebaik mungkin dan jangan buat perkara yang memudaratkan orang sekitar kita,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Gua Musang, di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Polis di sini hari ini.
Pada majlis tersebut, beliau menyaksikan Penyerahan tugas Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd. Taufik Maidin kepada pemangkunya, Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Sik Choon Foo.
Mohd. Taufik dilantik bertugas sebagai Ketua Polis Daerah Gua Musang selama tiga tahun bertukar ke negeri Kedah sebagai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik memangku pangkat Asisten Komisioner berkuatkuasa 28 Disember ini.
Menurut Shafien, dia menghargai komitmen Mohd. Taufik Maidin sebagai Ketua Polis Daerah apabila dapat membasmi kes jenayah sehingga statistik kes menurun untuk tempoh tiga tahun ini.