PETALING JAYA – Cuaca panas berterusan sejak awal Febuari lalu di Kelantan menyebabkan banyak telaga mulai kekeringan air sehingga memaksa penduduk membuat penggalian semula bagi mencari sumber mata air.
Menerusi perkongsian video di laman TikTok @marjanyoe, telaga buatan di rumahnya itu kering buat kali pertama setelah sekian lama tinggal di sana.
“Sekat (sejak) duduk rumah peninggalan arwah ayah ni, tak pernah lagi telaga buatan ini kering. Tapi akibat kemarau berpanjangan akhirnya kering juga setelah berpuluh tahun,” tulisnya di dalam video.
Melalui video itu juga, kelihatan lapisan tanah lumpur yang tebal di dasar telaga sehingga menghalang punca air daripada keluar.
“Jadi terpaksa lah ranyaa (sentuh) semula telaga ni, buang selut kedodok (tanah lumpur), gali dalam sikit nak suruh ada air,” ujarnya.
Tinjauan di ruangan komen mendapati, masalah kekeringan air telaga ini turut sama dialami oleh penduduk di kawasan lain.
“Telaga rumah saya di Kampung Pak Badol pun kering juga, tak pernah kering sepanjang tinggal di sini, ini kali pertama,” ujar Mohd Syafiq897.
“Sama lah dengan telaga di rumah saya di Kampung Berangan, Kadok ni. Jadi macam tu juga airnya, memang air tak naik langsung,” kata Rosnizazilawati.
“Kita dua bulan lebih dah tiada air di rumah, mandi di rumah orang saja. Sabar dengan ujian yang Allah bagi,” komen Ariel Saidi. – KOSMO! ONLINE
@marjanyoe Sekat duk umah peninggalan arwah ayah nie..xpernah lg telaga buatan dia kering..tp akibat kemarau berpanjangan akhirnya kering jgak stelah berpuluh tahun..jd terpaksa la “ranyaa” smula lago ni..buang selut kedodok..gali dlm ckit nk suh ado air..kita ikhtiar slagi blh..usaha tangga kejayaan..#syukurselalu #kemarau2024#fypシ゚viral ♬ Teguh_Kasawari – Abg Jiwang_Official