DUA pemain kelahiran England yang beraksi di Liga Kejuaraan, Kiernan Dewsbury-Hall dan Tom Ince dikaitkan memiliki darah kacukan Malaysia sekali gus berpotensi untuk diserap dalam skuad Harimau Malaya pada masa akan datang.
Pendedahan itu dibuat oleh laman pencari bakat di media sosial, Frfuturetalents yang mendakwa Dewsbury-Hall memiliki pertalian darah dengan Malaysia menerusi jalur keturunan ibu kandungnya.
“Dewsbury-Hall lahir di Sepshed, Leicestershire dan memiliki darah Malaysia menerusi nenek kandung daripada sebelah ibunya, Vanessa yang berasal dari Malaysia,” kata laman tersebut.
Dewsbury-Hall yang baru berusia 26 tahun dianggap sebagai salah seorang tunjang pasukan Leicester City selepas membantu pasukan bergelar juara Liga Kejuaraan sekali gus layak ke pentas Liga Perdana Inggeris (EPL) musim depan.
Lebih menarik, Dewsbury-Hall telah dipilih sebagai pemain terbaik tahunan The Foxes pada saingan musim ini dan mempunyai tanda harga €30juta (RM153.2 juta) menerusi laman statistik bola sepak antarabangsa, Transfermrkt.
Sementara itu, Tom yang juga anak legenda pemain bola sepak England, Paul Ince turut dilaporkan memiliki ‘darah’ Malaysia menerusi nenek daripada sebelah ibunya.
“Tom Ince lahir di Stockport, England dan memiliki darah Malaysia menerusi nenek kandung daripada belah ibunya yang berasal dari Malaysia.
“Tom juga memiliki keturunan daripada Barbados menerusi belah ayahnya,” kata Frfuturetalents.
Tom yang merupakan bekas pemain akademi Liverpool ketika ini menyarung jersi Watford sejak musim lepas dengan beraksi di posisi penyerang.
Pemain berusia 32 tahun itu tidak pernah membuat sebarang penampilan antarabangsa di peringkat senior dengan mana-mana negara dan memiliki tanda harga sebanyak €1 juta (RM5.1 juta).