PETALING JAYA – Pertubuhan Suara Rehabilitasi Dan Pendidikan Minda Kuala Lumpur dan Selangor telah melancarkan Suara Minda, Ahad lalu sebagai satu langkah penting bagi membina komuniti yang lebih inklusif untuk kesejahteraan mental.
Menurut pengasasnya, Vishalatchi Arunagiri, antara misi utama penubuhan Suara Minda adalah untuk menyediakan ruang selamat dan bebas stigma serta menyediakan perkhidmatan sokongan yang komprehensif untuk mana-mana individu yang menghadapi masalah kesihatan mental.
Vishalatchi berkata, misi utama Suara Minda terdiri daripada tiga tiang utama iaitu untuk memupuk kesedaran, memberikan perkhidmatan sokongan serta advokasi terhadap pesakit mental.
“Kami menjalankan kempen, seminar, dan bengkel dengan tujuan untuk mendidik orang ramai tentang isu kesihatan mental dan mempromosikan persekitaran bebas stigma.
“Selain itu, Suara Minda juga menyediakan perkhidmatan sokongan yang merangkumi program latihan menyeluruh dan kumpulan sokongan khas untuk membekalkan pesakit mental dengan kemahiran yang diperlukan untuk pulih.
“Dalam pada itu, kami juga bekerjasama dengan pelbagai pertubuhan serta persatuan mental lain untuk memperjuangkan hak individu yang bergelut dengan kesihatan mental,” katanya.
Menurut Vishalatchi, Suara Minda juga bakal bekerjasama dengan pertubuhan kesihatan mental seperti Persatuan Kesihatan Mental Malaysia, Persatuan Kesihatan Mental Selangor dan program MENTARI, Pusat Pemulihan Psikiatri Klang untuk memperjuangkan hak individu dengan masalah mental.
Sementara itu, Vishalatchi yang juga merupakan seorang penghidap penyakit mental menegaskan, perjalanan untuk pulih bukanlah satu perkara yang mudah.
“Saya ambil masa selama 13 tahun untuk pulih melalui gabungan terapi, ubat-ubatan dan rawatan psiko-pendidikan. Walaupun sukar kerana terpaksa menghadapi stigma daripada orang lain, saya tetap teguh dengan misi untuk memperjuangkan hak pesakit mental.
“Jangan sesekali biarkan penyakit mental menjadi batu penghalang dalam hidup. Kata-kata inilah yang saya pegang dan secara tidak langsung, menggambarkan semangat di sebalik Suara Minda,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Vishalatchi, individu yang menghidap penyakit mental berupaya untuk pulih sekiranya mempunyai ketekunan, kesabaran dan keazaman untuk mengatasi penyakit tersebut.
“Di sinilah kami (Suara Minda) dapat membantu dengan menyediakan perkhidmatan sokongan, salah satunya melalui bengkel terapeutik untuk memupuk persekitaran bebas stigma bagi pesakit mental,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE