PUTRAJAYA – Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) akan membuat kajian semula terhadap peraturan dan prosedur sedia ada untuk mengenal pasti sebarang kekurangan susulan insiden nahas udara membabitkan dua buah helikopter di Taman Melawati, Kuala Lumpur, pada 8 November lalu.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong dalam satu kenyataan berkata, pihak CAAM juga akan memperbaiki kekurangan yang dikenal pasti demi memastikan kemalangan sama tidak lagi berulang.
“Siasatan penuh berkaitan insiden ini masih lagi berjalan.
“Berdasarkan laporan awal, CAAM telah mengambil tindakan segera untuk memastikan keselamatan orang awam dan semua pemain industri penerbangan sentiasa diutamakan setiap masa,” katanya hari ini.
Ka Siong berkata, CAAM juga kini sedang berusaha untuk menjadikan latihan tambahan sebagai syarat kepada kelab-kelab dan pengendali swasta. -K! ONLINE