SEBERANG PERAI – Seorang pengedar sarung tangan getah kerugian kira-kira RM250,000 selepas 10 tan sarung tangan yang disimpan di dalam sebuah gudang di Penaga, Kepala Batas di sini dipercayai dilarikan penjenayah pada Sabtu lalu.
Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor, kejadian itu disedari oleh pemilik perniagaan itu, lelaki berusia 39 tahun selepas dia mendapati kesan pecah masuk kira-kira pukul 9.30 pagi.
Menurutnya, pemeriksaan mendapati ada kesan umpil pada tingkap dan pintu masuk gudang itu yang dijadikan setor selain cermin tingkap nako ditangglkan.
“Sebanyak 10 tan sarung tangan bernilai RM250,000 yang telah siap diasingkan di antara yang elok dan rosak didapati hilang.
“Mangsa menjalankan perniagaan itu dengan membeli sarung tangan getah terus dari kilang sebelum mengasingkannya di gudang itu,” katanya kepada pemberita hari ini.
Menurut Noorzainy, siasatan mendapati premis berpagar zink itu disewa oleh mangsa untuk menyimpan dan kerja mengasingkan sarung tangan dilakukan lima pekerja.
“Tiada pengawal keselamatan dan televisyen litar tertutup (CCTV) di gudang berkenaan yang beroperasi pukul 9 pagi hingga 6 petang pada setiap hari kecuali Ahad.
“Kejadian itu juga dikatakan kali kedua berlaku, namun mangsa tidak membuat laporan sebelum ini kerana jumlah barang yang hilang sedikit,” katanya lagi.
Sementara itu, Noorzainy meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu untuk tampil bagi membantu siasatan dengan menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah SPU di talian 04-575 9122.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE