LONDON – Pengurus Tottenham Hotspur, Ange Postecoglou merasakan pengalamannya di Celtic mampu dijadikan elemen utama untuk menenangkan penyokong The Lilywhites.
Sepanjang tempoh dua musim di Scotland, Postecoglou turut berdepan situasi hampir sama apabila The Hoops sering bolos menerusi situasi bola mati.
Ketika itu, Postecoglou turut berdepan kritikan namun masih mampu meraih kejuaraan dan nekad untuk mengulangi perkara sama bersama Spurs bagi memastikan keputusan baik mampu dicapai termasuk pada derbi London bertemu Chelsea awal pagi esok.
“Sudah pasti ia menjadi pengajaran dan ia adalah sebahagian daripada proses peningkatan di mana kami perlu jadi lebih baik dan situasi bola mati juga menjadi salah satu perkara yang kami perlu beri keutamaan.
“Ia bukan hanya situasi bola mati, tetapi banyak momen dalam perlawanan yang perlu diberikan perhatian terutama apabila kami memberikan ruang besar buat pasukan lawan untuk mendapatkan masa dan ruang untuk merencanakan peluang terbaik.
“Kami kena tanganinya dan tampil lebih yakin seperti kami lakukan tugas ketika lakukan serangan,” katanya.
Sepanjang musim ini, Spurs melepaskan 12 gol menerusi situasi bola mati yang menjadikan mereka pasukan keenam paling teruk dalam saingan Liga Perdana Inggeris
Untuk rekod, musim 2021/22 menyaksikan 10 daripada 22 yang membolosi gawang Celtic adalah menerusi situasi bola mati, namun keadaannya bertambah baik pada tahun kedua Postecoglou di Scotland musim lalu. – AGENSI