fbpx

Wang disita milik UMNO Pekan dikembalikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mahkamah Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR – Wang berjumlah RM700,000 milik UMNO Bahagian Pekan (UMNO Pekan) dan RM188,138.26 milik Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) yang sebelum ini disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah dikembalikan kepada kedua-dua parti itu.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM Abdul Rashid Sulaiman kepada Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Shahrir Mohd. Salleh semasa prosiding pengurusan kes itu hari ini.

“Pihak bank telah mengembalikan wang berjumlah RM700,000 kepada UMNO Pekan dan wang RM188,138.26 kepada SUPP. Oleh itu, pihak pendakwaan menarik balik permohonan bagi penangguhan pelaksanaan perintah mahkamah sebelum ini yang menolak permohonan kami bagi melucut hak wang UMNO Pekan dan SUPP,” kata Abdul Rashid.

Sebelum ini pihak pendakwaan memfailkan permohonan penangguhan pelaksanaan perintah mahkamah pada Oktober lalu, dengan menamakan UMNO Pekan dan 40 individu lain sebagai responden, termasuk Najib serta anaknya Datuk Mohd Nizar, yang merupakan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pekan.

Sementara permohonan bagi SUPP pula difailkan pada September lalu.

Pada 17 September lalu, SPRM gagal dalam permohonannya untuk melucutkan hak RM700,000 milik UMNO bahagian Pekan yang didakwa mempunyai kaitan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ahmad Shahrir membuat keputusan itu selepas mendapati pemohon iaitu SPRM tidak berjaya membuktikan jumlah wang itu dalam akaun UMNO Pekan selaku responden pertama di bawah Seksyen 56.

Seksyen 56 ialah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Dalam penghakimannya, Ahmad Shahrir antara lain berkata kesemua responden menyatakan jumlah RM700,000 telah digunakan untuk perbelanjaan utiliti, pembelian peralatan dan pembayaran lain untuk UMNO Pekan dan baki dalam akaun UMNO Pekan tidak berasal daripada akaun Najib yang dibekukan.K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI