fbpx

Perak SADC, Pak Tam meterai MoU perluas pasaran agromakanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pemeteraian MoU antara Perak SADC dan Pak Tam di Riyadh, Arab Saudi kelmarin bermatlamat untuk memperluas pasaran produk agromakanan, RTE dan sejuk beku di Asia Barat dan luar negara. - Foto IHSAN PERAK SADC

IPOH – Perbadanan Pembangunan Negeri Perak (Perak SADC) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Pak Tam Katering Sdn. Bhd. (Pak Tam) bagi usahasama memperluas dan meningkatkan jangkauan produk agromakanan, sedia dimakan (RTE) dan sejuk beku di Asia Barat di Riyadh, Arab Saudi kelmarin.

Ketua Pegawai Eksekutif Perak SADC, Datuk Yahanis Yahya berkata, MoU itu telah dimeterai bersempena Forum Kepimpinan Ekonomi Halal (HELF) 2024 di Riyadh.

Menurutnya, pemeteraian MoU itu telah diwakilinya bersama rakan sejawatnya dari Pak Tam, Muhammad Shazwan Ruslin.

“Ia disaksikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Perak merangkap Lembaga Pengarah Perak SADC bagi mewakili kerajaan negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; Pengerusi Halal Development Corporation, Khairul Azwan Harun dan Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Datuk Seri Dr. Awang Adek Hussin.

“MoU ini dilihat penting bagi meneroka peluang dan manfaat ekonomi yang signifikan termasuk peluang bagi pengusaha pertanian dan pengusaha produk makanan di Malaysia khususnya di Perak,” katanya di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Yahanis berkata, sebagai sebuah syarikat berkaitan kerajaan negeri Perak yang merupakan peneraju pembangunan pertanian, Perak SADC komited untuk memperluaskan potensi dalam produk agromakanan, produk RTE dan sejuk beku dengan inovasi produk yang baru sehingga ke peringkat antarabangsa.

“Untuk makluman, Pak Tam merupakan sebuah syarikat bumiputera yang mengendalikan katering dan menyediakan perkhidmatan makanan di Selangor, Perak dan telah mengorak langkah menembusi pasaran Arab Saudi.

“Sehingga kini Pak Tam mempunyai 12 cawangan rangkaian restoran termasuk satu di Madinah, Arab Saudi. Selain itu, Pak Tam turut mempunyai sebuah kilang pemprosesan makanan sejuk beku dan produk RTE,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI