MACHANG – Seorang penagih air ketum dicekup selepas kereta yang dia pandu merempuh maut penunggang motosikal wanita ketika membuat pusingan U di Kilometer 35, Jalan Kota Bharu-Kuala Krai, dekat Batu 23, di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8 malam itu, wanita berusia 47 tahun itu meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada kepala selepas dirempuh kereta dipandu suspek yang berusia 28 tahun.
Ketua Polis Daerah Machang, Superintendan Ahmad Shafiki Zakaria berkata, siasatan mendapati, mangsa menunggang motosikal jenis Honda EX5 dan membonceng suaminya dari arah Machang menghala ke Kota Bharu.
Menurut beliau, setibanya di lokasi kejadian, motosikal yang berada di laluan kiri dipercayai secara tiba-tiba membuat pusingan U.
“Keadaan itu menyebabkan kereta jenis Proton Iswara dipandu suspek tidak sempat mengelak sebelum merempuh motosikal tersebut dari arah belakang.
“Sebuah lagi kereta jenis Proton Saga dipandu seorang wanita bersama tiga anaknya berusia sembilan hingga 13 tahun kemudiannya turut melanggar motosikal mangsa,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Ahmad Shafiki memberitahu, wanita itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala suaminya luka pada bahagian lengan.
“Siasatan mendapati, suspek bekerja sebagai pengait kelapa sawit dan ditahan selepas ujian saringan air kencing mendapati lelaki itu positif air ketum,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE