HULU SELANGOR – Kementerian Pengangkutan (MOT) memantau rapi ruang udara berhubung letusan Gunung Ruang, Indonesia yang menjejaskan penerbangan dalam negara.
Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, setakat ini, abu yang merebak ke dalam negara telah menyebabkan beberapa penerbangan ke Tawau, Sabah terpaksa dilencongkan ke Kota Kinabalu semalam.
“Hari ini, saya belum terima laporan dan kita akan buat pengumuman lebih lanjut sekiranya ada apa-apa kesan kepada penumpang,” katanya ketika ditemui di pekan Kuala Kubu Baharu, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Anthony Loke berkata, sebarang keputusan berhubung penutupan ruang udara dan lapangan terbang negara akan diputuskan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).
“CAAM ada hak untuk membuat keputusan jika ada keperluan untuk tutup ruang udara negara dan lapangan terbang. Itu kuasa mereka bukan menteri, (dan) mereka hanya perlu maklum keputusan itu kepada menteri sahaja.
“Kalau situasi itu (letusan) tidak menjejaskan ruang udara kita, buat apa nak tutup dan saya fikir tindakan menutup lapangan terbang itu hanyalah langkah terakhir yang akan diambil sekiranya perlu,” jelasnya.
Terdahulu, Gunung Ruang dilaporkan sekali lagi meletus sebanyak tiga kali semalam dengan memuntahkan lahar serta abu lebih lima kilometer ke ruang udara.
Sementera itu, Agensi Meteorologi Indonesia, Badan Meteorologi, Klimatologi, dan Geofisika (BMKG) melaporkan abu gunung berapi sampai ke timur Malaysia di pulau Borneo. – KOSMO! ONLINE