fbpx

Terminal baharu LTSIP mampu terima penerbangan antarabangsa terus ke Kelantan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penumpang mendaftar masuk bagasi di kaunter pendaftaran terminal baharu LTSIP fasa 1 di Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan hari ini. FOTO KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN/ KOSMO!

KOTA BHARU – Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Pengkalan Chepa di sini bersedia untuk menerima penerbangan antarabangsa masuk ke Kelantan hujung tahun ini susulan terminal baharu fasa 1 beroperasi secara rasmi hari ini.

Pengurus Besar Kanan Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB), Kamaruzzaman Razali berkata, beliau yakin terminal baharu LTSIP ketika ini mempunyai kemudahan lengkap untuk menerima penerbangan antarabangsa ke negeri ini.

Menurutnya, melihat keadaan LTSIP, lapangan terbang itu secara asasnya sudah bersedia untuk menerima penerbangan antarabangsa.

“Bagaimanapun, kita masih menunggu peluang untuk mengadakan perbincangan lanjut dengan pengendali perkhidmatan penerbangan antarabangsa.

“Perbincangan sudah ada dan mereka berminat untuk datang ke Kota Bharu,” katanya ketika ditemui pemberita semasa mengadakan tinjauan hari pertama operasi terminal baharu fasa 1 LTSIP, Pengkalan Chepa, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Kamaruzzaman memberitahu, pihaknya juga sedia berbincang dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dan Kerajaan Negeri dalam mengendalikan penerbangan antarabangsa selepas ini.

Katanya, fasa kedua pembinaan LTSIP dijangka akan bermula seminggu selepas operasi terminal baharu fasa pertama berjalan.

“Terminal fasa 1 LTSIP mampu menampung kira-kira 2 juta kehadiran penumpang dalam tempoh setahun. Jadi, tiada masalah untuk menerima pertambahan jumlah penumpang di lapangan terbang ini.

“LTSIP mampu menampung seramai 4 juta penumpang setahun selepas fasa 2 siap sepenuhnya. Insya-Allah, projek fasa 2 akan siap sepenuhnya hujung 2026 atau awal 2027,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Kamaruzzaman berkata, jika LTSIP dinaik taraf sebagai antarabangsa, maka ia akan mengembangkan ekonomi Kelantan pada masa hadapan.

Katanya, peningkatan itu dapat diukur menerusi peningkatan pelancong antarabangsa ke negeri ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI