ALOR GAJAH – “Saya terkejut tengok kepala dia besar, tegak dalam longkang,” kata Nor Liyana Juhari, 31, menceritakan semula detik cemas terserempak ular sepanjang tiga meter di dalam longkang di depan rumahnya di Taman Sebang Gemilang, Pulau sebang, di sini, semalam.
Nor Liyana berkata, dia bersyukur ketika kejadian kira-kira pukul 6.30 petang itu, dua anaknya masing-masing berusia lima dan tujuh tahun yang sebelum ini sering bermain di kawasan itu berada bersama-samanya untuk keluar beriadah.
“Sewaktu itu saya ingin membawa anak-anak keluar bersiar menaiki motosikal dan ternampak kepala ular keluar dari longkang di depan rumah.
“Saya terkejut dan terus berpatah balik memberitahu suami untuk meminta bantuan pihak berkuasa menangkap haiwan berbisa itu,” katanya.
Mengulas lanjut, dia memberitahu, ular tersebut dipercayai keluar dari kawasan ladang sawit berdekatan rumahnya.
Ular jenis tedung selar seberat lima kilogram berkenaan bagaimanapun kemudian berjaya ditangkap dengan bantuan pasukan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Alor Gajah.
Ketua skuad, Leftenan Muda (PA) Hanis Farahana Mohamad Zaki berkata, panggilan kecemasan diterima pada pukul 6.24 petang dan sepasukan lima anggota APM dikejarkan ke lokasi.
“Setiba di lokasi, pasukan APM telah menjalankan pemeriksaan di sekitar kawasan dilaporkan dan mendapati terdapat seekor ular tedung selar sepanjang tiga meter di dalam longkang.
“Pasukan kami mengambil masa kira-kira empat minit untuk menangkap haiwan berbisa itu,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Katanya, haiwan itu kemudian dilepaskan di habitat asalnya jauh dari kawasan perumahan. -K! ONLINE