HULU SELANGOR – Warga Kuala Kubu Baharu diseru untuk mengenepikan emosi sewaktu keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) yang berlangsung pada 11 Mei ini.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pengundi perlu mengutamakan diri dan memilih wakil rakyat yang dapat menjamin kesejahteraan.
“Pada saya, biasalah semasa PRK. Inilah masanya (untuk) mengecil-kecilkan musuh politik. Mungkin itu cara mereka (Perikatan Nasional).
“Tetapi bagi saya pengundi di Kuala Kubu Baharu kena memilih wakil rakyat yang akan ada untuk membantu mereka. Saya mintak mereka jangan beremosilah, undi kerana kesejahteraan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat projek baik pulih dan naik taraf bangunan Mahkamah Kuala Kubu Baharu, di sini hari ini.
Terdahulu, Pemuda UMNO membuat laporan polis berhubung logo parti dan DAP yang dibawa penyokong Perikatan Nasional (PN) ketika hari penamaan calon.
Mengulas lanjut, Azalina berkata, penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu, mendiang Lee Kee Hiong sudah melaksanakan tugasnya dengan baik sebagai wakil rakyat di kawasan tersebut.
“Saya dimaklumkan (Kee Hiong) bukan Islam bulan Melayu tetapi dia melaksanakan tanggungjawabnya secara berhemah. Jadi, (pengundi perlu) meletakkan keutamaan pada diri mereka dulu,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE