fbpx

Titah Adendum: 2 Mei pendengaran permohonan Tengku Zafrul jadi pencelah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini menetapkan Khamis ini bagi mendengar permohonan Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz sebagai pencelah berkaitan perintah tahanan rumah Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perkara itu disahkan Peguam Najib, Muhammad Farhan Muhammad Shafee ketika dihubungi media hari ini.

Menurut peguam itu, Hakim Datuk Amarjeet Singh menetapkan 2.30 petang untuk mendengar permohonan tersebut yang mana prosiding dimaklumkan oleh mahkamah melalui e-mel semalam.

Terdahulu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu memohon sebagai pencelah supaya dibenarkan mahkamah memfailkan afidavit bagi membetulkan dakwaan kesilapan fakta afidavit dikemukakan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyokong permohonan semakan kehakiman oleh Najib.

Tengku Zafrul sebelum ini menghantar surat kepada mahkamah bagi memohon kebenaran untuk memfailkan afidavit membetulkan fakta dalam afidavit yang difailkan Ahmad Zahid.

Pada 17 April lalu, Tengku Zafrul memaklumkan akan membuat pembetulan fakta terhadap afidavit tambahan oleh Ahmad Zahid antara lain mengesahkan kewujudan Titah Adendum (tambahan) namun tidak mendedahkan kesilapan yang dimaksudkan.

Menurut afidavit tambahan yang difailkan Ahmad Zahid pada 9 April lalu, selain mengesahkan melihat dan membaca Titah Adendum, Timbalan Perdana Menteri itu turut menyatakan selain dirinya dan Tengku Zafrul, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan anggota kerajaan lain melihat salinan tersebut dan boleh mengesahkan perkara sama.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid memaklumkan beliau tidak mempunyai salinan memandangkan titah berhubung tahanan dalam rumah itu belum dilaksanakan, namun percaya Peguam Negara mempunyai salinan tersebut.

Pada 1 April lalu, Najib memfailkan semakan kehakiman antara lain mendakwa selain perintah pengurangan hukuman penjara dan denda, terdapat perintah tambahan yang membenarkan beliau untuk menjalani hukuman yang dikurangkan kepada ‘tahanan di rumah’ dan bukannya di Penjara Kajang.

Menurut afidavit yang difailkan bekas Perdana Menteri itu mendakwa menerima ‘maklumat yang sahih’ berhubung Titah Adendum pada 12 Februari lalu.

Kata pemohon, pada 29 Januari lalu, Yang di-Pertuan Agong mengeluarkan ‘titah utama’ supaya hukuman penjara Najib dikurangkan kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan kepada RM50 juta.

Najib mendakwa titah adendum turut dikeluarkan pada tarikh sama, tetapi mendakwa ia tidak didedahkan oleh mana-mana responden sehingga kini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI