JAKARTA – Sebuah video tular di media sosial memaparkan seorang penggali kubur menemui jenazah masih berada dalam keadaan baik dan berbau wangi meskipun selepas 16 tahun meninggal dunia, lapor laman berita Detik.
Menurut perakam video tersebut dikenali sebagai Sukaidi dan berusia 52 tahun, kejadian berlaku pada 23 April lalu di Deli Serdang, wilayah Sumatera Utara.
Ujar Sukaidi, seorang jirannya meninggal dunia dan mereka mahu mengebumikan jenazah di lokasi tersebut.
Namun, mereka terkejut apabila melihat kain kafan daripada satu jasad yang dikebumikan di situ ketika penggali kubur melakukan proses penggalian.
“Kami terkejut kerana kain kafan tersebut berbau wangi seperti bau bunga melati dan daun pandan.
“Padahal jika dilihat daripada batu nisan, jenazah si mati dikebumikan pada tahun 2008,” kata Sukaidi.
Disebabkan penemuan itu, penggali kubur kembali menimbus jasad tersebut dengan tanah, manakala jenazah jiran Sukaidi dikebumikan di lokasi lain. – AGENSI