JOHOR BAHRU – Dua pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima suapan bagi mendapatkan perakuan cop keluar dan masuk passport warga asing tanpa mereka perlu keluar dari negara sejak dua tahun lalu.
Salah seorang tertuduh, Azhar Ahmad M. Salbi, 27, membuat pengakuan bersalah terhadap pertuduhan pilihan menerima suapan berjumlah RM1,250 daripada dua lelaki antara 20 Februari hingga sembilan April 2018.
Hakim Kamarudin Kamsun kemudian menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan bermula tarikh tangkap, serta denda RM20,000 jika gagal bayar penjara enam bulan.
Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa menerima wang suapan daripada Nickson Lindang Anak David, sebanyak RM500 dan Mohd. Azril Azizan, sebanyak RM750 di Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini.
Azhar Ahmad yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut Seksyen 2 (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694).
Manakala, seorang lagi tertuduh, Syafik Abu Khalipah, 25, membuat pengakuan tidak bersalah ke atas tujuh pertuduhan menerima suapan berjumlah RM24,395 atas kesalahan sama pada tahun lalu.
Dia membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan hakim.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Syafik didakwa menerima suapan bagi mendapatkan perakuan cop keluar dan masuk passport warga asing tanpa mereka perlu keluar dari negara antara 22 Oktober 2019 hingga 17 Mac lalu.
Dia didakwa menerima wang suapan daripada dua lelaki sama Nickson Lindang Anak David dan Mohd. Azril Azizan.
Kamarudin kemudian menetapkan jaminan berjumlah RM40,000 dengan seorang penjamin, manakala pasport milik tertuduh perlu diserah kepada mahkamah dan tertuduh diminta melapor diri setiap bulan di pejabat SPRM.
Mahkamah menetapkan tarikh 21 Januari depan untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Suhali Sapun, manakala Syafik diwakili peguam K. Kalaicelran dan G. Kamala dan Azhar tidak diwakili peguam.-K! ONLINE